Utusan Online: Nik Aziz lawat keluarga Sosilawati

Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Sallehuddin Ayub diiringi oleh bekas suami Sosilawati, Bukhairi Mohamed (kiri) menziarahi keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, semalam. - utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meluangkan masa mengunjungi keluarga jutawan kosmetik yang mati dibunuh, Datuk Sosilawati Lawiya bagi menyampaikan ucapan takziah.
 
Sambil berkongsi kesedihan dengan keluarga mangsa pembunuhan kejam itu, Mursyidul Am Pas itu turut menasihatkan mereka supaya banyak bersabar dan menerima ketentuan Ilahi.

"Sebagai orang Islam, sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk mengunjungi keluarga si mati lebih-lebih lagi apabila melibatkan kematian yang tragis seperti ini bagi mententeramkan mereka.

"Justeru, saya mewakili seluruh rakyat Kelantan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa-mangsa pembunuhan tersebut dan semoga mereka dirahmati Allah SWT kerana mereka mati akibat dianiaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi kediaman jutawan kosmetik itu di Taman Harmonis, Gombak di sini hari ini.

Turut bersama Nik Abdul Aziz ialah Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayub.

Sementara itu, bekas suami pertama Sosilawati, Bukhairi Mohamed kelihatan sugul ketika dia dan anak-anaknya menyambut kedatangan Nik Abdul Aziz dan rombongannya.

Ketika ditemui, dia sempat berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberi sokongan moral kepada anak-anaknya ketika berdepan dengan ujian tersebut.

2 comments:

Seindah.Bidadari said...

ramai org yg prihatin dab bersimpati dengan kes ni..semoga Allah mencucuri rahmat keatas datuk sosilawati dan rakan2nya amin..

aibaks said...

fiza: amin..